INTERNET

 

INTERNET

 Kod Kursus : MF 1103

Status Kursus : Wajib Teras

Pensyarah : En. Hanizan Shaker Hussain

Objektif Kursus

Mempelajari konsep asas Internet

Mempelajari dan mempraktikkan kaedah untuk melayari laman web

Mempelajari keperluan mendapatkan sambungan ke Internet

Rekabentuk dan perlaksanaan laman web (homepage)

 

 

KANDUNGAN KURSUS

1. KONSEP INTERNET

1.1 Pengenalan

1.2 Sejarah Internet

1.3 Kebaikan dan keburukan Internet

1.4 Isu semasa Internet

2. PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN INTERNET

2.1 Perkhidmatan capaian maklumat (ftp)

2.2 Perkhidmatan carian maklumat (Enjin Pencari)

2.3 Perkhidmatan Komunikasi (E-mel, Telnet, Usenet dan IRC)

3. SAMBUNGAN KE INTERNET

3.1 Keperluan untuk mendapatkan sambungan ke Internet

3.2 Jenis-jenis sambungan

3.3 Kosep-konsep: nama domain, gateway, ISP

4. MELAYARI LAMAN WEB

4.1 Sejarah World Wide Web (WWW)

4.2 Kosep-konsep : browser, hiperteks, hipermedia dan link

4.3 HTTP, laman web dan client-server (Pelanggan-Pelayan)

5. KESELAMATAN DAN SEKURITI

5.1 Sekuriti Internet

5.2 Kaedah-kaedah perlindungan

5.3 Serangan virus dan pecah-masuk sistem

6. LAMAN WEB

6.1 Perancangan : objektif, keperluan perkakasan dan perisian

6.2 Mekanisme penstoran dan capaian dokumen HTML

6.3 Rekabentuk laman web

6.4 Hubungan laman web dengan pangkalan data

6.5 Pembinaan, pengekodan dan penjanaan laman web (tag-tag HTML)

 

 

PENILAIAN KURSUS

 

Kerja kursus 50 %

Tugasan individu 20 %

Pep . Pertengahan 20 %

Kuiz 5 %

Kedatangan 5 %

 

Peperiksaan Akhir 50 %

 

TEKS DAN BAHAN RUJUKAN

Pike Mary Ann, Special Edition, Using The Internet, Second Edition. Indianapolis : Que Corporation , 1995.

Miller Michael, Easy Internet, Indianapolis : Que Corporation, 1994.

Kraynak Joe and Habrakan Joe, Internet 6 in 1, Indianapolis : Que Corporation, 1997.

 

 

BAB 1 KONSEP INTERNET

1.1 Pengenalan

Definisi Internet

Secara umumnya Internet merupakan satu rangkaian bersifat global yang menghubungkan lebih dari seorang pengguna dari seluruh dunia yang membolehkan pertukaran maklumat berlaku.

 

Definisi lain Internet

- Majalah Dewan Masyarakat (keluran Disember ’95)

Mentakrifkan Internet sebagai suatu rangkaian komputer antarabangsa yang menghubungkan lebih 40 ribu rangkaian komputer yang diurus bersama secara bersendirian.

Majalah PC (jilid 3 vol 1 ’95)

Mentakrifkan Internet sebagai suatu sistem yang menggabungkan rangkaian seluruh dunia dengan menyediakan perkhidmatan komunikasi data seperti login jarak jauh (remote login) , pemindahan fail, e-mel dan kumpulan berita (newsgroup).

1.2 Sejarah Ringkas Internet

Bermulanya Internet adalah untuk sistem pertahanan USA bagi menghadapi serangan nuklear daripada Soviet Union dalam perang dingin dan tidaklah bersifat global seperti sekarang. Idea yang berasaskan rangkaian yang tiada mempunyai kuasa pusat yang terdiri daripada beberapa nod yang boleh menyampai dan menerima mesej. Mesej adalah dalam bentuk paket yang mempunyai alamat destinasi. Kemudian ia dimajukan dan diluaskan penggunaan daripada hanya menghubungkan dua syarikat kepada perhubungan seluruh dunia. Di Malaysia teknologi Internet bermula pada tahun 1993 dan terus berkembang hingga kini dianggarkan pelanggan melebihi 45,000.

 

 

1.3 Kebaikan dan Keburukan Internet

Kebaikan Internet

Internet banyak memberi manfaat kepada pengguna terutama pelajar di institusi pengajian tinggi . Ia membuka suatu dimensi baru kini sebagai sumber rujukan mudah dan pantas dari segi masa dan lokasi. Ia hampir menggantikan kaedah pembelajaran atau pencarian maklumat cara lama iaitu penggunaan perpustakaan .

 

Masyarakat ramai juga tidak terlepas dari merasai bahang Internet dengan capaian berita dengan cepat dan pantas samada berita liputan dalam atau luar negara misalnya liputan mutakhir sukan dari seluruh dunia seperti France ’98 mahupun berita panas seperti perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Namun terdapat beberapa kebaikan lain seperti :

 

 

 

Pendidikan dalam Internet

Kini terdapat universiti yang berkonsepkan maya contohnya UNITAR yang menyediakan akaun Internet untuk para pelajarnya. Kini para pelajar bukan sekadar menggunakan Internet untuk berkongsi maklumat dan penyelidikan tetapi juga mengambil kursus tanpa perlu melangkah kaki ke dalam bilik kuliah. Malahan mengambil soalan tugasan, membuat kuiz dan menduduki ujian melalui Internet. Kumpulan berita membolehkan para pendidik dan pelajar bertanyakan sesuatu, mendapatkan nasihat dan menyemak maklumat. Teknologi persidangan video membolehkan pelajar dalam sesebuah kelas bekerjasama melaksanakan sesuatu projek. Begitu juga penggunaan perpustakaan maya dimana membenarkan anda mencari buku dalam talian jika anda mempunyai kad perpustakaan dengan perpustakaan tersebut.

 

 

Perniagaan dalam Internet

Internet boleh menjadi salah sebuah lokasi perniagaan utama yang menjalankan urusan jual beli barangan dan perkhidmatan. Bidang perniagaan meningkatkan penggunaan Internet dalam dua cara : (1) memasar dan menjual barangan dan perkhidmatan dan menerima pembayaran elektronik.(2) mewujudkan rangkaian korporat persendirian yang dipanggil Intranet . Maka bermula dari sini orang ramai boleh membeli di rumah atau di tempat perniagaan.

 

 

Perubatan dalam Internet

Internet menrevolusikan setiap aspek sistem perubatan bermula daripada cara para doktor kita dilatih, capaian maklumat penjagaan kesihatan hinggalah kepada cara doktor merawat dan menjalankan pembedahan. ‘Hospital maya’ sudah pun berkembang dalam Internet. Hospital ini sebenarnya tidaklah merawat pesakit tetapi memberi capaian khazanah sumber perubatan yang begitu banyak yang terdapat dalam Internet. Pengguna biasa sebagai contoh dapat menyemak seimbas atau membuat pencarian dalam pangkalan data untuk mencari jawapan kepada permasalahan kesihatan yang dihadapi. Bagaimanapun perubahan paling ketara dalam cara rawatan kini dengan apa yang dinamai sebagai ‘teleperubatan’. Dengan menggunakan teknologi ini, pembedahan dapat dilakukan oleh seseorang doktor bedah walaupun berada berbatu-batu dari bilik pembedahan.

 

 

Keburukan Internet

Disebalik kebaikan yang begitu banyak terdapat beberapa kelemahan atau keburukan Internet. Ia ibarat sebilah pisau yang begitu berguna jika digunakan untuk memotong buah atau sayur tetapi menjadi satu kesalahan pula jika ia digunakan untuk membunuh.

 

Terdapat beberapa keburukan Internet seperti :

 

Medium penyebaran dakyah jahat

Menyesatkan fahaman pengikut agama lain atau ajaran sesat seperti yang dilakukan oleh mubaligh-mubaligh kristian ini yang menghasilkan laman web kitab Injil yang diselewengkan dalam Bahasa Malaysia.

Memberi maklumat palsu untuk kepentingan puak tertentu.

Malah terdapat juga laman web yang mengajar cara-cara membuat bom seperti yang diusahakan oleh kumpulan mafia ‘Trench Coat’.

 

Medium penyebaran virus

Terutama penyebaran melalui penghantaran e-mel seperti virus Mutant, Melissa dan yang terbaru adalah virus CIH yang menyerang sistem komputer hingga lumpuh keupayaannya.

Kesan daripada serangan virus hinggalah merosakkan sistem sesebuah PC.

Pecah-masuk ke sistem lain

Iaitu pencerobohan memasuki ke sistem orang lain tanpa hak seperti penyelewengan akaun bank.

4) Pornografi

Ia telah menjadi satu isu yang sensitif dan boleh mempengaruhi kepada perlakuan tidak sihat terutama kepada remaja belasan tahun kerana Internet membenarkan access tanpa had.

Ia sudah tentu boleh melekakan masyarakat Islam dari kehidupan yang sihat.

 

Menurunnya produktiviti syarikat.

Mutakhir ini ia seringkali dibicarakan sebagai satu faktor yang menyumbang ke arah menurunnya produktiviti syarikat jika pekerja melapangkan masa yang sepatutnya melakukan kerja kepada melayan Internet.

Jika ramai yang melakukannya ia akan membarah dan akhirnya kos operasi juga akan meningkat ekoran penggunaan sumber yang tidak betul.

 

 

1.4 Isu Semasa Internet

 

Melalui revolusi teknologi maklumat atau IT , teknologi dunia dan persekitarannya turut berubah dari semasa ke semasa. Ramai yang beranggapan bahawa revolusinya di seluruh dunia terlalu deras berbanding revolusi pertanian dan revolusi perindustrian. Antara teknologi IT yang sering dibicarakan hari ini adalah kad pintar (smart card) dan e-dagang (e-commerce).

 

Kad Pintar

 

Peranan dan fungsi kad pintar adalah semakin penting hari ini. Ia bukan sekadar sekeping objek kecil daripada bahan plastik yang boleh dimuatkan dengan mudah ke dalam poket, sebaliknya ia mampu menyimpan maklumat kritikal secara elektronik di dalamnya terus kekal, dilindungi dan boleh diakses pada bila-bila masa.

 

Saiznya yang hanya sebesar kad kredit itu, lazimnya dilengkapi dengan sebuah mikrocip elektronik yang tertanam didalamnya. Cip tersebut adalah bertujuan untuk menyimpan data-data elektronik dan program-program yang dilindungi dengan ciri-ciri keselamatan.

 

Sesetengah piawaian pula akan mendefinisikan beberapa aplikasi khusus kad pintar meliputi kad telefon selular digital, kad kredit (Mastercard) dan dompet elektronik (Visacash). Satu lagi teknologi kad pintar yang bakal diperluaskan adalah penggunaan teknologi ‘biometrik’ yang akan membolehkan seseorang individu itu dikenalpasti identitinya menerusi pengenalpastian maklumat tangan, cap jari, retina mata atau suara.

 

E-Dagang

 

E-dagang atau perdagangan elektronik diwujudkan untuk menyelesaikan masalah jarak dan waktu. Melalui teknik ini peniaga dan pembeli dapat berinteraksi di alam maya. Di alam Internet , peniaga-peniaga boleh mendirikan kedai-kedai maya mereka yang dapat mempamer dan mempromosikan barangan jualan mereka. Seorang penjual barangan kraftangan di Kelantan boleh memasarkan barangannya melalui Internet dengan membina tapak webnya sendiri yang membolehkan seorang pembeli dari negara Jepun membuat tempahan. Melalui E-dagang , pembeli ini boleh membuat bayaran menggunakan wang elektronik , kad kredit, bank maya atau mengepos terus cek kepada penjual tersebut.

 

Ramai yang masih ragu-ragu akan keselamatan dan kebolehpercayaan E-dagang terutama penggunaan nombor kad kredit yang ada kemungkinan boleh dipintas dan disalin oleh penceroboh (hackers) yang berniat jahat. Tetapi dengan adanya beberapa ciri keselamatan seperti enkripsi, pensijilan digital, tandatangan digital, wang digital dan lain-lain piawaian keselamatan seperti SET (Secure Electronic Transaction) yang dibangunkan oleh VISA dan MasterCard dan SSL (Secure Socket Level) yang dibangunkan oleh Netscape.

 

Malahan Wharton Econometric Forecasting Associates meramalkan pertumbuhan E-Dagang sebanyak 69 % setiap tahun sehingga 2003 di mana dijangkakan jumlah perdagangan yang dilakukan media elektronik akan melebihi angka RM3.8 trilion (RM3,800 bilion).

 

 

Latihan

 

 

Berikan 5 kelebihan Internet dan 5 keburukan Internet

Ceritakan sejarah ringkas sehingga wujudnya Internet di Malaysia

Huraikan konsep perdagangan E-dagang (e-commerce).

Apakah langkah-langkah terbaru kerajaan dalam menggalakan perkembangan IT di kalangan masyarakat di Malaysia.

Pada pendapat anda apakah Internet memberi banyak kesan positif atau negatif kepada masyarakat.

 

 

 

 

BAB 2 PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN INTERNET

 

2.1 Perkhidmatan Capaian Maklumat

FTP

 

Pemindahan fail dalam Internet disokong oleh suatu spesifikasi yang dinamakan Protokol Pemindahan Fail (File Transfer Protocol : FTP).

Protokol ini menyediakan aplikasi salinan fail daripada sebarang hos Internet ke sebarang hos Internet lain.

FTP menggunakan sistem pelanggan-pelayan iaitu anda menggunakan aturcara pelanggan dinamakan ftp bagi membuat sambungan kepada aturcara pelayan pada komputer jauh.

Konsep ftp mudah, misalnya anda menghantar satu arahan meminta pelayan menghantar satu salinan fail tertentu. Pelayan bertindak balas dengan menghantar fail yang diminta. Aturcara pelanggan akan menerima fail itu dan disimpan ke folder anda.

Terminologi ftp adalah komputer anda dinamakan hos tempatan dan komputer yang satu lagi dinamakan hos jauh.

Ftp menjadi penting terutama apabila sesuatu fail itu besar dan lebih kompleks di mana e-mel tidak boleh berfungsi dengan baik apabila kita ingin membawa antara 10 ke 12 muka surat.

 

Download

 

Dirujukkan sebagai memindah-terima fail atau kadang kala disebut sebagai memuat turun fail.

Ini kerana Internet menjadi sumber kepada pelbagai fail-fail lain termasuk permainan , grafik, font , bunyian, muzik, video dan lain-lain.

Proses memindah terima adalah amat mudah dan ia dibahagikan kepada 5 langkah :

Ciptakan satu folder khas dalam cakera keras.

Nama folder biarlah ada makna contoh ‘download’.

Cari dan pindah terima fail yang dikehendaki.

Cari fail yang dikehendaki dan menyimpannya ke dalam folder yang telah disediakan.

Terdapat beberapa alamat Internet (lokasi) yang boleh membantu anda memperolehi fail yang dicari untuk dipindah terima contoh http://www.download.com atau http://www.hotfiles.com

Setelah anda berpuas hati dengan fail yang dikehendaki klikan pada ikon yang biasanya dilabelkan ‘Download Now’.

Satu tetingkap (File Download) akan muncul yang bertanyakan sama ada anda hendak melaksanakan (open this file from its current location) atau hendak menyimpannya (save this file to disk).

Sekiranya anda memilih menyimpan , satu tetingkap baru (Save As) akan muncul, klikan ‘Save In’ , dapatkan cakera C: dan kemudian folder yang telah dicipta.

Membuka mampatan fail yang dipindah terima.

Semua fail yang dipindah terima daripada Internet biasanya telah dimampatkan (compressed) dengan format ZIP. Lain-lain format ARJ, ARC, BIN dan EXE.

Untuk membuka fail yang telah dimampatkan anda perlukan fail pembuka mampatan contoh WINZIP.

Jika fail yang dipindah terima dalam format EXE , ia akan dilaksanakan automatik

Memasang perisian berkenaan

Sekiranya anda telah membuka fail mampatan, dwiklik pada fail yang bernama SETUP atau INSTALL.

 

Memadamkan fail-fail yang tidak diperlukan.

Setelah anda INSTALL, fail-fail yang telah dipindah terima akan memenuhi ruang di dalam cakera keras . Adalah lebih baik anda hapuskannya.

2.2 Perkhidmatan Carian Maklumat (enjin pencari)

Disebut enjin pencari atau ‘search engine’.

Ia digunakan untuk mendapatkan maklumat tertentu dengan lebih pantas.

Terdapat beberapa enjin pencari iaitu :

Yahoo

Web Crawler

Hotboot

Alta Vista

Excite dan lain-lain

Terdapat juga enjin pencari tempatan iaitu CARI tetapi ia kurang berkesan.

Prestasi setiap enjin pencari adalah berbeza .

Anda sebagai pengguna yang ingin mencari sesuatu maklumat perlu memasukkan kata kunci (keywords) pada ruang cari yang disediakan.

 

2.3 Perkhidmatan Komunikasi

Terdapat beberapa perkhidmatan yang disediakan yang boleh dikategorikan kepada

perkhidmatan komunikasi iaitu :

 

E-mel

Telnet

Usenet

IRC

 

E-mel

 

Surat atau mel elektronik atau ringkasnya e-mel merupakan kemudahan Internet yang paling giat digunakan.

Dengan e-mel anda boleh menghantar pesanan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai capaian Internet.

Berjuta-juta manusia menghantar dan menerima e-mel setiap hari.

E-mel menggunakan protokol TCP (Transmission Control Protocol) yang memecahkan pesanan anda kepada paket-paket kecil.

Manakala protokol IP (Internet Protocol) pula menghantar paket tersebut ke lokasi yang betul dan kemudian TCP mencantumkannya semula ketika menerimanya supaya anda dapat membaca pesanan tersebut.

E-mel membenarkan anda melampirkan fail perduaan (attach files) seperti gambar, bunyi, video dan fail boleh laksana (execute file) bersama-sama pesanan e-mel anda.

 

Telnet

 

Salah satu keistimewaan Internet adalah anda berupaya menggunakan sumber komputer yang jauh.

Anda boleh log masuk komputer yang lain dan memasaukkan perintah dari rumah atau pejabat anda seolah-olah anda berada di hadapan papan kekunci komputer yang jauh dan juga sumber komputer itu.

Anda dapat membuatnya dengan sumber Internet yang dinamai Telnet.

Telnet mengikut model pelayan/pelanggan.

Komputer yang jauh dinamakan hos.

Untuk menggunakan sumber Telnet dan hos , anda perlu tahu alamat hos Internet yang mengandungi sumber yang anda kehendaki.

Biasanya anda perlu log masuk hos dan sesetengah sistem memerlukan maklumat tentang diri anda seperti nama dan alamat sebagai katalaluan.

Apabila anda ingin membuat sambungan ke Telnet, anda perlu pastikan emulasi terminal. (papan kekunci dan monitor anda berfungsi serasi dengan hos)

Kebanyakan pelanggan Telnet menggunakan perisian UNIX.

 

Usenet

 

Usenet merupakan forum perbincangan elektronik terbesar didunia menyediakan cara penghantaran pesanan antara komputer merentas seluruh Internet.

Pengguna Internet di seluruh dunia menyertai perbuncangan tersebut yang membicarakan ribuan tajuk dalam pelbagai bidang yang khusus yang dipanggil kumpulan berita.

Terdapat sekurang-kurangnya 20 hierarki kumpulan berita utama yang berlainan seperti rekreasi (yang dikenali sebagai ‘re’) dan komputer (yang dikenali sebagai ‘komp’).

Kumpulan berita individu boleh mencakupi segala-galanya daripada wayang hingalah kepada keibubapaan, ekologi, sukan , klip seni dan berita tentang Usenet itu sendiri.

Untuk menyertai kumpulan berita , anda perlukan perisian khusus untuk baca dan membalas pesanan yang diterima.

Banyak kumpulan berita yang mempunyai senarai Soalan yang Sering Ditanya atau FAQ (Frequently Asked Question). FAQ ini menjawab soalan biasa yang tentang kumpulan berita. Mungkin lebih baik jika anda membaca FAQ terlebih dahulu sebelum mengemukakan solan kepada kumpulan berita secara keseluruhan.

Anda boleh menyertai kumpulan berita dengan membaca pesanan yang dihantar dan membalasnya.

Fail perduaan seperti gambar dan multimedia juga boleh dipaparkan dalam kumpulan berita.

IRC

 

Merupakan cara komunikasi yang cepat dan menarik menggunakan papan kekunci.

Ia juga dipanggil ‘Bual Geganti Internet’ (Internet Relay Chat).

Anda boleh berbual dengan orang lain diseluruh dunia di mana anda menaip perkataan dalam komputer dan orang lain pula dapat terus membaca dalam komputer dan begitulah sebaliknya.

Beribu-ribu orang berbincang tentang berbagai tajuk setiap hari menggunakan IRC.

Setiap tajuk yang berlainan dipanggil ‘saluran’ contoh #kampung, #dusun , #melayu dan lain-lain.

IRC berdasarkan kepada model pelanggan/pelayan .

Anda log masuk pelayan menggunakan perisian pelanggan dan kemudian pilihlah saluran yang anda suka.

 

Latihan

 

Apakah yang dimaksudkan dengan ftp ?

Dengan menggunakan perisian cute-ftp pindahkan satu fail daripada hos tempatan ke hos jauh.

Tuliskan langkah-langkah yang telah anda laksanakan di atas hingga anda berjaya memindahkan satu fail tersebut.

Berikan beberapa jenis sambungan (extension) bagi fail-fail yang dipindah-terima.

Dalam situasi yang bagaimanakah ftp menjadi lebih penting daripada e-mel.

Berikan langkah-langkah bagaimana anda ingin memindah-terima sesuatu fail.

Berikan 5 jenis enjin pencari sertakan alamat tapak web (web sites) masing-masing.

Berikan nama enjin pencari tempatan dan apakah perkhidmatan yang terdapat di sana.

Berikan 3 alamat tapak web yang membenarkan anda mendaftar e-mel secara percuma.

Berikan langkah-langkah terperinci bagaimana anda ingin mendaftar e-mel secara percuma disalah sebuah tapak web tersebut.

Apakah fungsi utama Telnet ?

Apakah yang dimaksudkan dengan Usenet dan terangkan mengenai hierarkinya.

Apakah yang dikatakan FAQ ?

BAB 3 SAMBUNGAN KE INTERNET

 

 

3.1 Keperluan untuk mendapatkan sambungan

 

Untuk membolehkan pengguna komputer mengakses Internet dan memasuki alam maklumat , mereka perlu memiliki :-

Memiliki Komputer Peribadi (PC)

PC yang memenuhi keperluan multimedia yang mempunyai ciri-ciri audio-visual

Mempunyai kelajuan pemproses sekurang-kurangnya 100Mhz .

Mempunyai keluasan Ingatan Utama sekurang-kurangnya 16Mb

Mempunyai saiz cakera keras mencukupi sekurang-kurangnya 800Mb

Modem

Modem mempunyai kadar kelajuan transmisi berbeza dan yang terkini adalah 56Kbps. Modem-modem sebelumnya adalah 28.8K dan 33.6K.

Terdapat berbagai jenis Modem mengikut jenama misalnya Motorola, Boca, Lightning, FADA dan Cincaria.

Modem juga boleh dikategorikan kepada 2 mengikut jenis iaitu :

Modem Luaran (External Modem)

Modem Dalaman (Internal Modem)

Bagi komputer Notebook modemnya bersaiz lebih kecil (sebesar kad kredit) yang dipasang pada slot PCMCIA.

Memiliki Akaun Akses Internet

Akaun akses Internet boleh diperolehi dengan pengguna mendaftar dengan mana-mana Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) dengan bayaran pendaftaran RM 46.00 samada :

MIMOS Berhad (menerusi rangkaian JARING - dialan 1511)

Telekom Malaysia Berhad (menerusi rangkaian TMNet - dialan 1515)

Kadar bayaran adalah standard bagi mana-mana ISP mengikut jenis perkhidmatan yang boleh dipilih oleh pengguna :

Penggunaan Terhad - bayaran akses yang dikenakan berasaskan tempoh

penggunaan :

Pengguna Persendirian 1 sen seminit

Pengguna Korporat 2.5 sen seminit

Penggunaan Tanpa Had - bayaran yang dikenakan ialah

Pengguna Persendirian RM 50.00 sebulan

Pengguna Korporat RM 100.00 sebulan

Talian Telefon

Pengguna di rumah boleh menggunakan talian telefon sedia ada atau memasang talian khas untuk Internet.

Kadar bayaran pemasangan talian khas adalah sama seperti memasang talian untuk telefon biasa (RM 70.00)

Bagi pengguna korporat adalah digalakkan menggunakan talian khas untuk Internet.

Perisian Pelayar Internet (Browser)

Pengguna boleh memilih mana-mana browser yang ada misalnya Netscape Communicator, Internet Explorer, Mosaic dan lain-lain.

Perisian E-mel

Bagi pengguna yang mendaftar dengan ISP akan diberikan alamat e-mel anda yang khusus.

Pengguna perlu ‘setting’ terlebih dahulu sebelum e-mel anda dapat berfungsi.

3.2 Jenis-jenis sambungan

- Terdapat pelbagai cara untuk menyambungkan komputer anda dengan Internet seperti :

Sambungan dailan

Sambungan LAN

Sambungan berkelajuan tinggi

 

Sambungan dailan

 

Anda menggunakan komputer yang akan menghubungkan anda secara terus ke Internet melalui talian telefon (termasuk telefon tanpa wayar).

Contohnya anda menggunakan komputer peribadi (PC) atau macintosh atau stesen kerja yang disambungkan terus ke Internet.

Dalam kes ini, semua komputer tersebut menjadi hos Internet dengan mempunyai alamat elektronik sendiri atau alamat IP (Internet Protocol).

Bagi kaedah ini , anda perlukan peranti perkakasaan untuk menukarkan isyarat komputer (isyarat digital) kepada isyarat telefon (isyarat analog) dan sebaliknya.

Peranti tersebut dipanggil modem (ringkas daripada modulator-demodulator).

Modem berperanan membolehkan dua komputer berkomunikasi melalui talian telefon. Ia disambungkan kepada komputer dengan menyambungkannya ke ‘port’ sambungan yang terletak pada kad antara muka rangkaian.

Manakala peranti luaran (modem luaran) merupakan peranti terasing yang disambungkan ke komputer melalui satu kabel serta disambungkan ke telefon dengan talian telefon piawai.

 

Sambungan LAN

 

Sejenis sambungan menggunakan rangkaian yang disambungkan penghala (router) atau titi (bridge) yang disambungkan ke Internet.

Biasanya cara ini memberi capaian yang lebih laju berbanding dialan secara terus.

Sambungan seperti ini berkonsepkan penyambungan kabel yang mempunyai sambungan wayar kekal.

Sambungan jenis ini mempunyai kelebihannya di mana sebaik sahaja anda menghidupkan PC , sambungan sudah siap sedia.

Kekurangannya adalah tidak mudah untuk mengalih PC ke tempat lain.

 

 

 

Sambungan berkelajuan tinggi

Jika anda inginkan sambungan berkelajuan tinggi , anda mempunyai dua pilihan :

Talian ISDN

Modem berkabel

 

Talian ISDN

ISDN (Integrated Services Digital network) atau Rangkaian Digital Khidmat Bersepadu adalah talian telefon digital khusus yang membolehkan anda mendail Internet pada kelajuan tinggi.

Biasanya kelajuan ISDN adalah 64kbps dengan 128kbps.

Untuk menggunakan salah satu talian ini , anda memerlukan modem ISDN khas dan pembekal Internet yang mempunyai capaian ISDN.

 

Modem Berkabel

Membenarkan anda menggunakan kabel televisyen sepaksi untuk berhubung dengan Internet.

Anda memerlukan modem berkabel khas dan syarikat kabel tempatan perlu mempunyai keupayaan ini sebelum anda dapat menggunakan Internet melalui wayar kabel televisyen.

Kelajuannya boleh mencapai sehingga 100 kali lebih laju daripada kelajuan modem biasa.

 

3.3 Konsep-konsep nama domain, gateway dan ISP.

Nama domain

 

Merupakan perkara yang penting dan patut difahami oleh semua penggemar Internet.

Ia adalah alamat Internet yang digunakan oleh Protokol Internet (IP) untuk menghantar surat dan maklumat lain dari satu komputer ke komputer yang lain.

Setiap alamat IP dalam Internet sebenarnya merupakan empat nombor bersiri yang dipisahkan oleh noktah seperti 163.52.128.72.

Oleh kerana usaha untuk mengingati alamat berangka seperti ini agak sukar maka cara yang lebih mudah dicipta untuk mengesan alamat iaitu Sistem Nama Domain atau Domain Name System (DNS).

Sistem Nama Domain menubuhkan hierarki domain iaitu satu himpunan komputer dalam Internet.

Sistem ini menyediakan nama domain kepada setiap komputer yang terdapat dalam Internet dengan menggunakan huruf dan perkataan yang dapat dicam dengan mudah berbanding nombor.

Berikut adalah contoh bagaimana DNS berfungsi :

Spacelink.mfc.nasa.gov

Domain tertinggi adalah gov yang bermakna government.

Domain dibawahnya adalah nasa yang merupakan domain NASA.

Di bawah domain NASA adalah msfc (Marshall Space Flight Center) iaitu satu rangkaian komputer NASA.

Spacelink mengenalpasti komputer NASA yang menjalankan program SPACElink.

Alamat IP SPACElink berangka sudah bertukar beberapa kali tetapi nama domainnya tetap sama. Sistem DNS akan mengesan pertukaran seperti ini supaya surat dapat dihantar ke destinasi yang betul.

http://www.ittar.com

http (Hypertext Transfer Protocol) atau Protokol Pemindahan Hiperteks adalah protokol yang mengendalikan pemindahan data atau maklumat dari satu komputer ke komputer yang lain dalam bentuk hiperteks.

www (World Wide Web) adalah Jaring Sedunia yang merupakan rangkaian yang bersambung secara global. Laman disambung antara satu sama lain dengan hiperteks yang membolehkan anda bergerak dari satu laman ke laman yang lain dan laman tersebut menggabungkan teks, grafik, bunyi, animasi dan unsur multimedia yang lain.

Ittar merupakan hos yang digunakan yang melambangkan organisasi ITTAR.

Com menunjukkan sebuah laman commercial

Di bawah menunjukkan beberapa domain yang biasa digunakan :

com – commercial

edu – education

gov – goverment

mil – military

net – network

org – organization

Terdapat juga domain yang digunakan untuk pengenalan negara :

uk – United Kingdom

ca – Kanada

my – Malaysia

Fr – Perancis

 

Get-laluan (Getway)

 

Apabila anda menghantar maklumat melalui Internet , pertama sekali maklumat itu akan dipecahkan kepada paket-paket kecil dan tugas ini dilakukan TCP. Paket-paket ini akan dihantar dari komputer anda ke rangkaian setempat, pembekal khidmat Internet atau perkhidmatan dalam talian. Pelbagai perkakasan memproses paket direkabentuk untuk itu dan menghalakannya ke destinasi yang betul. Lima perkakasan yang penting adalah :

Get-laluan (Getway) - Perkakasan yang berperanan sebagai penterjemah data dari satu jenis rangkaian ke jenis rangkaian yang lain. (LAN membezakan data daripada LAN yang lain).

Hab (Hub) - Perkakasan ini menghubungkan rangkaian komputer dan

membolehkan rangkaian komputer berkomunikasi antara satu

sama lain.

 

 

Titi (Bridge) - Perkakasan menghubungkan rangkaian kawasan setempat (LAN)

dengan LAN yang lain.

 

Pengulang (Repeater) – Perkakasan untuk menguatkan data dari semasa ke semasa supaya isyaratnya tidak terus lemah kerana data biasanya terpaksa menempuh satu jarak perjalanan yang jauh.

Penghala (Router) - Perkakasan yang memainkan peranan mengendalikan lalu lintas Internet dan memastikan paket-paket sampai ke destinasi yang betul.

 

ISP (Internet Service Provider)

 

ISP atau Pembekal Perkhidmatan Internet adalah sebuah badan yang mengawal dan menyediakan perkhidmatan Internet .

Dalam sesebuah negara mungkin terdapat lebih daripada satu penyedia perkhidmatan Internet contohnya di Amerika Syarikat terdapat 9 syarikat yang mengendalikannya.

Di Malaysia terdapat 2 syarikat yang mengendalikan perkhidmatan Internet iaitu JARING (Joint Advanced Research Integrated Networking) yang diusahakan oleh MIMOS (Malaysian Institute of Microelectronics System) dan TMNet yang diusahakan oleh Telekom Malaysia Berhad.

 

 

Latihan

 

Huraikan keperluan-keperluan yang membolehkan sesebuah PC di rumah akses ke Internet.

Apakah yang dimaksudkan dengan ISDN ?

Huraikan DNS berserta dengan satu contoh alamat mana-mana tapak web kamu sendiri.

Bandingkan perkhidmatan ISP di Malaysia dari segi perkembangan syarikat, kualiti perkhidmatan dan bayaran yang dikenakan kepada pelanggan.

 

 

BAB 4 MELAYARI LAMAN WEB

 

4.1 Sejarah World Wide Web

WWW adalah antara perkhidmatan yang baru.

WWW berasaskan kepada teknologi hiperteks.

Web akan menyediakan satu perisian pelanggan capaian umum (public access client program) atau lebih dikenali sebagai penyemak seimbas.

WWW merupakan satu kaedah menyusun maklumat dalam Internet.

Pengguna boleh pergi dari satu sumber maklumat ke sumber yang lain melalui sambungan (links) yang dilaksanakan oleh hiperteks.

4.2 Konsep Penyemak Seimbas (Browser), Hiperteks, Hipermedia dan Link

 

Penyemak Seimbas

 

Kini terdapat dua jenis penyemak seimbas yang utama dan digunapakai oleh ramai orang iaitu Netscape Communicator dan Internet Explorer.

Netscape Communicator

Ia dikeluarkan oleh Netscape Communication.

Merupakan antara laman web yang popular di alamat http://www.netscape.com/

Hampir 80 % pelayar-pelayar Internet di seluruh dunia menggunakan perisian ini untuk melayari laman-laman web.

Antara fungsi-fungsi ysng disediakan adalah RealAudio Player, QuickTime untuk windows, QuickTime Virtual Reality dan lain-lain.

Manakala versi Netscape Navigator Gold membolehkan anda membangun dan menyunting laman web.

Internet Explorer

Pelayar web yang dihasilkan oleh gergasi perisian iaitu Microsoft Corporation.

Kini ia semakin popular dan ramai pengguna yang memilihnya kerana ia mudah dipasang dan digunakan.

Ia boleh memainkan fail video AVI secara langsung (real time) pada skrin monitor.

Ia juga berupaya menjalankan skrip Visual Basic dan applet Java.

Antara fungsi utama adalah menghantar e-mel serta melanggani berita Usenet.

 

 

Hiperteks

 

Apabila sesuatu projek multimedia melibatkan Internet mengandungi bilangan teks yang besar , kandungan ini boleh diindekskan dan elemen-elemen berkaitan boleh dipautkan (linked).

Apabila sesuatu perkataan diindekskan kepada perkataan lain, wujudlah sistem hiperteks, dimana sebahagian daripada teks mewakili kandungan lain atau maksud lain di laman lain.

Dengan sistem hiperteks, pengguna boleh menerokai laman-laman di web secara linear atau tidak linear.

 

Hipermedia

 

Apabila interaksi dan pautan bertambah dimana berlaku pautan silang (cross linking) di antara teks dan imej atau klip video atau elemen-elemen lain, maka pencapaian maklumat telah menjadi tidak linear dan wujudlah apa yang dipanggil hipermedia.

Bermakna akan terbina laman-laman web yang mengandungi teks dan animasi.

Dengan adanya sistem hiperteks dan hipermedia ini, kaedah pencapaian maklumat dapat dipertingkatkan dari segi kemudahan , kecepatan dan efisyen.

Ini penting sebagai sumber pembelajaran, penyelidikan dan pemasaran/pengiklanan.

 

Link

 

Merupakan pautan atau sambungan antara satu laman web dengan laman web yang lain yang dihubungkan oleh elemen-elemen seperti teks, imej dan lain-lain.

Bermakna pengguna boleh menjelajah ke serata pelusuk dunia dengan hanya klikan pada mana-mana bahagian yang dipautkan.

4.3 HTTP, Laman Web dan Pelanggan-Pelayan.

HTTP

 

HTTP singkatan daripada Hypertext Transfer Protocol atau Protokol Pemindahan Hiperteks.

HTTP mentakrifkan cara komunikasi antara penyemak seimbas dengan pelayan.

HTTP memastikan pemindahan fail-fail hiperteks menerusi Internet.

Ia memerlukan aturcara pelanggan HTTP pada komputer dan aturcara pelayan HTTP pada komputer pelayan.

 

Laman Web

 

Merupakan fail-fail penerbitan multimedia interaktif.

Sebuah laman web menggabungkan teks, grafik, bunyi, animasi dan unsur multimedia yang lain.

Setiap laman disambung antara satu sama lain dengan hiperteks yang membolehkan anda bergerak dari satu laman ke laman yang lain.

Begitu juga jika anda mahu bergerak dari satu sumber Internet ke satu sumber yang lain seperti fail multimedia dan kumpulan berita.

 

Pelanggan-Pelayan

 

Pelayan merupakan sebuah komputer yang memberi perkhidmatan kepada komputer-komputer pelanggan.

Manakala Pelanggan pula merupakan komputer-komputer yang mendapatkan perkhidmatan daripada komputer pelayan seperti perkhidmatan memindah-terima fail, ftp dan lain-lain.

Sesebuah komputer kadangkala bertindak sebagai pelayan apabila memberikan perkhidmatan kepada komputer lain begitulah sebaliknya.

Rujuk penerangan ftp untuk maklumat lebih lanjut berkenaan Pelanggan-Pelayan.

 

 

Latihan

 

Huraikan dua jenis browser yang sering digunakan oleh anda dan nyatakan yang mana satukah adalah lebih baik.

Berikan takrifan perkara-perkara berikut :

Hiperteks

 

Hipermedia

 

Link

 

Pelanggan-Pelayan

Nyatakan salah satu laman web terbaik pada pandangan anda dalam Internet dan berikan alamatnya.

Nama :

Alamat :

 

 

 

BAB 5 KESELAMATAN DAN SEKURITI

 

5.1 Sekuriti Internet

Keselamatan data adalah penting terutama transaksi perniagaan untuk memastikan agar data tidak boleh diubah oleh orang yang tidak berhak.

Media dan peranti komunikasi data selalu terdedah kepada capaian oleh orang yang tidak berhak contohnya gelombang mikro boleh diambil maklumatnya oleh orang yang mempunyai cakera parabola.

Keselamatan data boleh dilakukan dalam pelbagai kompenan komunikasi data seperti komputer hos, terminal, modem, peranti keselamatan data dan media penghantaran.

Media penghantaran berbeza pada tahap keselamatan di mana gentian optik (fibre optic) paling selamat kerana menggunakan teknologi cahaya manakala media yang tidak berpandu seperti ‘infrared’ atau satelit lebih terdedah kepada pengintipan.

 

5.2 Kaedah-kaedah Pelindungan

Antara kaedah-kaedah perlindungan data dalam Internet yang biasa di gunakan adalah :

 

Katalaluan

 

Katalaluan adalah kaedah keselamatan data yang kerap digunakan.

Dengan menggunakan katalaluan , keselamatan data diletakkan pada tanggungjawab pengguna tetapi masalahnya ramai pengguna yang cuai.

Pemilihan katalaluan mestilah dibuat dengan baik supaya tidak mudah diteka.

Firewalls

 

Firewalls adalah satu kaedah yang digunakan untuk menapis terlebih dahulu data yang diterima atau yang hendak keluar dari rangkaian.

Berdasarkan kriteria yang digunakan, data tersebut akan dibuang (discard) jika tidak memenuhi kriteria.

Firewalls boleh menjaga keselamatan data dan menghalang ralat yang berlaku dari tersebar ke rangkaian lain.

Biasanya firewalls diletakkan antara rangkaian persendirian dengan rangkaian awam di mana kerosakan dan capaian yang tidak berhak dapat dihalang.

Packet-filtering firewall menapis pada peringkat bingkisan di mana boleh periksa alamat dan jenis data.

Application-level firewall menapis ciri-ciri tertentu terhadap satu-satu aplikasi contohnya e-mel di mana ia dapat mengawal mel yang berulang dan yang terlalu besar saiznya.

 

Pengengkripan (encryption)

 

Satu teknik menukar data yang dihantar ke bentuk rahsia.

Data yang akan dihantar diengkrip dan menukar semula ke bentuk asal apabila diterima oleh si penerima.

Data asal dipanggil ‘plain-text’ dan yang telah diengkrip dipanggil ‘cipher-text’.

Salah satu algorihtma pengengkripan mudah adalah mengajak satu huruf ‘plain-text’ ke beberapa huruf di depan.

Misalnya huruf A jadi D, B jadi E , C jadi F … W jadi Z, X jadi A dan seterusnya.

Jika mesej asal adalah ABU akan dihantar data dalam bentuk DEX.

5.3 Serangan Virus dan Pecah-masuk Sistem

Virus adalah perisian mudah atau kod program boleh laksana (executable code) yang ditulis menggunakan pengaturcaraan komputer.

Kod virus akan aktif bila sesuatu operasi atau fungsi dimulakan dan ia berupaya merebak dengan mudah dan mampu membuat salinan secara automatik.

Kebanyakan virus dicipta oleh mereka yang ingin menguji atau menunjukkan kebolehan pengaturcaraan mereka serta bertujuan jahat untuk merosakkan sistem komputer orang lain.

Dijangka terdapat lebih 12,000 jenis virus komputer manakala lebih 300 virus baru ditemui setiap bulan.

Virus komputer yang menyerang sistem menampilkan ciri tertentu seperti jenis serangan , fail yang dirosakkan dan ruang ia berfungsi.

Antara kategori virus ialah ‘boot sector’, ‘file infector’, ‘boot strap sector’, ‘stealth’, ‘polymorphic’ dan ‘macro word concept’.

Selalunya virus komputer berpindah daripada satu PC ke PC melalui disket yang dijangkiti virus.

Virus juga boleh berpindah melalui rangkaian komputer di dalam sesebuah organisasi.

Kesan serangan virus komputer bergantung kepada jenis virus dan operasi kod virus itu dan serangan virus yang paling dahsyat adalah kehancuran seluruh sistem fail di dalam cakera keras.

Antara kesan lain yang nyata ialah kehilangan masa produktif, kerosakan data, perisian tidak stabil, mesej pada skrin, gangguan, sistem ‘lockup’ dan ‘crashed’ .

 

 

 

Latihan

 

Dapatkan kaedah-kaedah keselamatan data lain dalam Internet yang terkini.

Senaraikan nama-nama virus yang terkini dan nyatakan kesannya kepada sistem komputer.

 

 

 

 

 

 

 

BAB 6 LAMAN WEB

 

 

 

 

 

 

 

Microsoft FrontPage